
KUALA LUMPUR 20 Feb. – Polis menjangkakan rundingan pihak berkuasa dengan sekumpulan penceroboh rakyat Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu sejak minggu lalu dapat ditamatkan dalam masa terdekat tanpa pertumpahan darah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, ketika ini, proses rundingan antara kedua-dua pihak terlibat masih berjalan dengan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari segi operasi pemantauan.
“Kita mahu konflik ini berakhir secepat mungkin kerana tidak mahu penduduk tempatan serta rakyat Malaysia bimbang situasi semasa di Lahad Datu,
“Namun, kita tidak boleh tergopoh-gapah dan perlu sabar serta bijak mengatur strategi untuk mengusir mereka,” katanya selepas Majlis Anugerah Pengguna Jalan Raya Berhemah dan Kontinjen/Daerah Terbaik Op Selamat II di KL Sentral di sini hari ini.
Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab polis dalam mengawal insiden seperti ini (pencerobohan) seterusnya menyelesaikannya segera mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Saya mengesahkan keadaan di sana terkawal, kita telah mengambil pelbagai langkah dalam menangani situasi berkenaan…kita sedang mencari solusi terbaik dalam mengusir mereka mengikut perundangan yang ada,” katanya.
Ismail berkata demikian selepas hadir pada majlis penganugerahan surat penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen serta daerah terbaik sempena Op Selamat 2, di sini, hari ini.
Selasa lepas, pasukan keselamatan menemui sekumpulan rakyat asing bersenjata serta berpakaian tentera mendarat di pesisir Lahad Datu dan polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo itu sebagai pewaris berketurunan ‘Raja Sulu’ dari Selatan Filipina.
Dalam pada itu, Ismail yang turut menyangkal beberapa dakwaan di laman sosial dan khabar angin berhubung situasi di Kampung Tanduo, berkata ia adalah dalam bidang kuasa polis serta menasihatkan orang ramai agar berhenti membuat andaian dan spekulasi.
“Saya lihat banyak gambaran di laman sosial yang tidak tepat mengenai situasi di sana (Kampung Tanduo)…ini adalah tanggungjawab polis. Saya harap kita tidak terlalu cepat membuat andaian,” katanya.
Sumber:
http://www.utusan.com.my
http://www.umno-online.my